KUANTAN, 6 Januari 2026 – Yayasan Pahang menyambut baik pelaburan strategik oleh Bubbles O₂ Sdn. Bhd. menerusi pelaksanaan Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah di tanah milik Yayasan Pahang di Ladang Gambang, Mukim Kuala Kuantan, yang telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail hari ini.
Kerjasama ini bermula daripada cadangan Bubbles O₂ kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui Invest Pahang untuk membuka operasi cari gali dan pengeluaran air mineral premium. Hasil penilaian menyeluruh, Yayasan Pahang telah diberi mandat untuk merealisasikan pelaburan ini selaras dengan agenda diversifikasi industri negeri serta dasar Pahang 1st.
Projek ini melibatkan kawasan seluas 10 ekar dan merangkumi keseluruhan rantaian operasi termasuk cari gali sumber air bawah tanah, pengeluaran, pemprosesan dan pengkomersilan. Dengan kapasiti pengeluaran minimum 14 juta botol setahun, projek ini dijangka menyumbang kepada pertumbuhan KDNK Negeri Pahang serta menjana peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi sokongan.

Bubbles O₂ merupakan syarikat Bumiputera yang memfokuskan kepada pengeluaran air mineral premium berkandungan oksigen tinggi, dengan aspirasi jangka panjang ke arah penyenaraian awam (IPO), selain memanfaatkan kelebihan Pahang yang kaya dengan sumber air mineral berkualiti tinggi.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa komited menyediakan persekitaran pelaburan yang mesra pelabur dan berintegriti. Namun, setiap pelaburan yang dibawa masuk mesti memberi pulangan yang nyata kepada negeri serta manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat,” kata YAB Menteri Besar Pahang.
Melalui penglibatan Yayasan Pahang sebagai rakan strategik, pulangan kewangan dan nilai ekonomi daripada projek ini akan dimanfaatkan semula bagi menyokong agenda pendidikan dan kebajikan, sekali gus memastikan manfaat pembangunan kembali kepada rakyat Pahang.

