8 Disember, Bandar Madinah Mawaddah, Kuantan – Semangat mendalami ilmu agama mendorong Nurhaliza Mohd Romeli, 47, penduduk Bandar Pinggiran Subang, Seksyen 5, Shah Alam, untuk membuat keputusan besar dengan menyewa rumah di Perumahan Penor Makmur 1 dekat Kuantan.
Keputusan tersebut dibuat setelah tertarik untuk mengikuti Program Tafaqquh Fiddin Advance (TFDA) anjuran Yayasan Pahang (YP).
Ketika ditanya mengapa memilih program ini, Nurhaliza menjelaskan keputusannya didukung oleh keyakinan anak-anaknya terhadap TFDA yang terbukti berkesan.
“Anak-anak saya yakin dengan program ini kerana ia melibatkan guru-guru yang hebat dan sistem pengajian yang sangat sistematik.
Selain itu, program ini dianggap sebagai peluang terbaik untuk memperbaiki diri dan memperdalam pemahaman agama melalui pendekatan yang terstruktur dan berkualiti,” kata Nurhaliza.
Sementara itu seorang lagi peserta Fadzilah Khalid, 69, yang hadir setiap kelas pengajian dengan bertongkat berkata faktor kesihatan tidak menghalang dirinya untuk terus menimba ilmu terutamanya Fardu Ain.
“Walaupun keadaan makcik macam ini datang bertongkat, makcik tetap datang demi ilmu agama dan makcik merasakan program sebegini tidak ada di tempat lain,” katanya.
Bagaimanapun langkah kedua-duanya membuat keputusan untuk hadir menuntut ilmu agama membuktikan dedikasi mereka ternyata luar biasa.
Dengan itu, ia mampu mencetuskan inspirasi baru bagi masyarakat lain untuk belajar khususnya ilmu agama tanpa memikirkan keadaan fizikal atau batasan lokasi.
TFDA anjuran Yayasan Pahang, telah menarik perhatian ramai dengan pendekatan pengajian ilmu agama berasaskan kitab-kitab Turath secara profesional oleh tenaga pengajar profesional dan bertaukiah secara percuma menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang serius memperdalam ilmu agama.
#yp4u #yayasanpahang #tfda #bandarmadinahmawaddah
