9 Disember, Kuala Lumpur – Program Jaminan Kerjaya anjuran Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang (YP) dengan kerjasama YP Advanced Skills (YPAS) berjaya membantu kira-kira 6,273 peserta memperoleh pekerjaan berpendapatan sehingga mencecah RM20,000 dan ke atas, sejak 2018 lalu.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan tersebut dianggap cukup membanggakan Pahang kerana di awal program tersebut terdapat hanya lebih kurang 18 orang sahaja yang menyertainya.
“Ini adalah satu usaha yang sangat baik dan usaha ini meliputi semua cabang, maknanya daripada gunting rambut sampai kepada kerja-kerja kemahiran yang lain, offshore, buah sawit dan sebagainya.
“Saya sangat menghargainya dan mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pahang dan YP Advance Skills dan usaha ini akan diteruskan dan Kerajaan Negeri akan memberi sokongan kepada YP Advanced Skills. InsyaaAllah kita akan tambahkan lagi bilangan pelajar dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya ‘Empowering De’Tea Logue’ yang diadakan di Sime Darby Convention Centre (SDCC) di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang, Pengurus Besar YP Advanced Skills, Puan Hajah Nor Liza Abd Mubin dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, Dato’ Kamaliah Ghazali.
Dalam pada itu Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, sebanyak RM62.16 juta telah diperuntukkan bagi melahirkan pekerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi.
Program Jaminan Kerjaya menawarkan tujuh sektor pembelajaran iaitu Sektor Hospitaliti dan Perkhidmatan, Sektor Minyak, Gas dan Tenaga, Sektor Pengangkutan dan Logistik, Sektor Teknologi Maklumat dan Digital, Sektor Pembinaan dan Kejuruteraan, Sektor Pelancongan dan Kejuruteraan serta International Career Management Trainee Programme.
Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara YPAS dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).
Sementara itu, bagi pemegang anugerah Ikon Terbaik Jaminan Kerja, Nazrul Nafiz Roslan, bersyukur kerana diberi peluang untuk menyertai program ini sehingga berjaya mencapai impian sebagai tukang masak kapal.
“Program ini bagus sebenarnya… pertama, kita tak perlu mengeluarkan kos untuk belajar. Apa yang kita perlu hanya keinginan dan semangat untuk berjaya sahaja.
“Sebelum ini saya tak ada kerja tetap, saya kerja macam-macam termasuk pernah membuka kedai tepi jalan. Saya nak mempunyai kerjaya yang betul maka saya buat bersungguh-sungguh daripada kerja sapu lantai, cuci tandas sehinggalah sekarang saya sudah berjaya sebagai tukang masak.
“Apa yang dilakukan Kerajaan Pahang, khususnya Yayasan Pahang ini adalah jalan yang terbaik , maka kepada yang lain teruslah melangkah untuk berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peserta daripada masyarakat Orang Asli, Karim Kin terharu dan gembira kerana sudah mempunyai pekerjaan yang pendapatan tetap setiap bulan.
Katanya, kini tidak perlu risau kerana sudah boleh membantu keluarganya.
“Perasaan sekarang sudah lain, saya sudah cukup gembira kerana sudah ada kerja, dan paling penting ada pendapatan setiap bulan.
“Dulu nak dapatkan sesuatu sangat susah, tapi sekarang dah boleh dapatkan keperluan dengan lebih mudah malahan bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi mampu untuk membantu keluarga saya,” katanya.
#yp4u #yayasanpahang #ypas #jaminankerjaya #impac #pelabuhantanjungpelepas
