21 Mac, Kuantan – Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) sekali lagi melakar sejarah apabila alumninya, Ustaz Aziz Azimullah bin Baharuddin diumumkan sebagai pemenang tempat pertama Anugerah Guru Inovatif (Kategori Individu Sekolah Rendah) sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-54 Tahun 2025 yang diadakan di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Kejayaan tersebut dicapai menerusi projek inovatif yang dikenali sebagai Sistem i-Pejawi, satu pendekatan teknologi pendidikan yang direka khas untuk membantu murid yang lemah dalam tulisan Jawi.
Sistem i-Pejawi membolehkan murid menukar ejaan asas Rumi dalam Bahasa Melayu tulen kepada tulisan Jawi dengan lebih mudah dan sistematik. Inovasi ini juga membantu murid mengecam padanan huruf Rumi-Jawi secara berkesan, sekali gus meningkatkan penguasaan Jawi dalam kalangan murid sekolah rendah.
Lepasan Tahfiz Professional 2010 itu kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Sepagaya, Lahad Datu, Sabah sejak tahun 2020.
Yayasan Pahang merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Ustaz Aziz Azimullah atas kejayaan yang membanggakan ini.
Semoga beliau terus diberkati dan menjadi inspirasi kepada warga pendidik serta pelajar-pelajar tahfiz di seluruh negara.
#yp4u #yayasanpahang #mtnp #kpm #hariguru2025
