10 Disember, Kuantan – Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) berbesar hati menerima kunjungan hormat delegasi Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang diketuai oleh Imam Besar Masjid Negeri Kuantan, Tuan Haji Mohd Rizzal Mohd Ali Nafiah.
Delegasi disambut oleh Pemangku Pengarah MTTNP, Ustaz Muhammad Hamdan itu bertujuan membincangkan usaha sama antara kedua-dua pihak dalam menjayakan Program Khatam Subuh 3.0 bermula Januari 2025 berdasarkan sambutan baik yang diterima daripada kalangan masyarakat sebelum ini.
Sebagai latar belakang, MTTNP telah menghantar seramai lapan wakil pelajar pada Program Khatam Subuh kedua yang telah berlangsung pada tahun 2022 lalu.
Kunjungan diakhiri dengan pemeteraian jaringan kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit yang masing-masing diwakili oleh Ustaz Muhammad Hamdan dan Tuan Haji Mohd Rizzal.
MTTNP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pengurusan Masjid Negeri Kuantan di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada anak didik MTTNP di dalam menjayakan program ini.
Semoga jaringan kerjasama ini memberikan impak yang positif terhadap usaha memartabat dan memasyarakatkan al-Quran.
