Kuala Lumpur, 29 Januari 2026 – Yayasan Pahang (YP) mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori Anti-Rasuah pada UNGC Forward Faster Sustainability Awards (FFSA) 2026, sekali gus membuktikan komitmen Yayasan Pahang dalam membudayakan kecemerlangan dan integriti melalui pencapaian anugerah berprestij di bawah naungan United Nations Global Compact.
Majlis anugerah anjuran UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) itu telah berlangsung di ibu negara dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, yang lebih dikenali sebagai Abang Johari Openg.

Yayasan Pahang memenangi kategori Anti-Rasuah menerusi penyertaan kertas kerja bertajuk “Building a Culture of Integrity: How Yayasan Pahang Strengthened Governance Through ISO 37001”, selepas disenarai pendek bersama Thumbprints United Sdn. Bhd., sekali gus mengungguli kategori tersebut di peringkat akhir.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed bersama Encik Faroze Nadar, Pengarah Eksekutif, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB).
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi berkata, pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan Yayasan Pahang dalam memperkukuh nilai integriti, ketelusan serta amalan tadbir urus korporat yang berlandaskan piawaian antarabangsa.
“Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian, malah merupakan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang dianugerahkan oleh United Nations Global Compact. Ia membuktikan kesungguhan Yayasan Pahang dalam melaksanakan tadbir urus berintegriti secara menyeluruh, khususnya melalui pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila Yayasan Pahang dipilih sebagai pemenang dalam kategori Anti-Rasuah, selari dengan prinsip kelestarian dan tadbir urus yang berakauntabiliti tinggi.
“Integriti adalah tunjang kepada setiap usaha kelestarian. Justeru, kami amat berbesar hati dan bersyukur atas pengiktirafan ini, dan percaya kejayaan ini menjadi penanda aras baharu bagi institusi yayasan milik kerajaan negeri di Malaysia,” tambah beliau.
Pada majlis sama, beberapa organisasi terkemuka negara turut menerima pengiktirafan bagi kategori lain, antaranya Malayan Banking Berhad (Maybank) dan Telekom Malaysia Berhad, sekali gus memperkukuh kredibiliti dan kedudukan anugerah ini di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dato’ Indera Mahmud berharap kejayaan ini akan terus menjadi pemangkin untuk Yayasan Pahang memperkukuh budaya kerja berintegriti, memperkasa sistem tadbir urus yang amanah serta terus berbakti demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian masa depan Negeri Pahang.
