JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Pahang menerusi Yayasan Pahang (YP) terus memperkukuh komitmen membela kebajikan mahasiswa anak negeri dengan memperuntukkan RM9 juta melalui pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Siswa 2026.
Peruntukan tersebut yang meningkat RM1 juta berbanding tahun 2025 membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan tiada anak negeri tercicir daripada arus pendidikan tinggi akibat kekangan kewangan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan berkenaan telah ditambah baik secara berperingkat sejak 2022, bermula RM200, meningkat kepada RM300 pada 2023 dan RM400 sejak 2025, serta dikekalkan bagi tahun 2026.
“Keseluruhan peruntukan berjumlah RM9 juta ini disalurkan kepada pelajar bagi meringankan bebanan kewangan sepanjang tempoh pengajian, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup dan harga barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa 2026 di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Bagi tahun 2026, seramai kira-kira 20,000 mahasiswa anak Pahang yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak RM400 seorang, melibatkan institusi pengajian tinggi terpilih di seluruh negara.
Selain bantuan IM Pahang Kluster Siswa, Kerajaan Negeri melalui YP turut menyediakan pelbagai sokongan pendidikan lain termasuk Geran Bantuan Pelajaran one-off sebanyak RM700 kepada pra siswazah dan RM1,200 kepada pasca siswazah, di samping kemudahan pinjaman pendidikan serta biasiswa seperti Skim Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) dan Skim Pelajar Cemerlang (SPC).

Dalam perkembangan sama, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, kadar bantuan one-off kepada mahasiswa anak Pahang berpotensi untuk ditambah pada masa hadapan, tertakluk kepada keupayaan kewangan negeri.
“Insya-Allah, berdasarkan trend pengurusan kewangan negeri yang semakin baik, kita akan terus menambah baik bantuan dan mengembalikannya kepada rakyat, khususnya pelajar,” katanya.

Kerajaan Negeri Pahang akan terus meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai agenda utama dalam melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi ke arah membina Pahang yang lebih makmur dan sejahtera.
