SHAH ALAM, 10 Januari 2026 – Yayasan Pahang dengan kerjasama FELDA dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menganjurkan Pahang Explore Race: “Gen FELDA Jelajah Kampus”, sebuah program berkonsepkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang bertujuan memperkasa mahasiswa Anak Pahang khususnya Generasi FELDA melalui elemen kepimpinan, inovasi, kreativiti dan kerjasama berpasukan.
Program ini menghimpunkan seramai 500 mahasiswa Anak Pahang daripada pelbagai universiti awam dan swasta di seluruh negara, sekali gus menjadi platform strategik untuk memperkukuh jaringan kepimpinan belia Pahang merentas institusi pengajian tinggi.

Majlis pelepasan rasmi (flag-off) program telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin, Pengarah Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang, sebagai simbolik permulaan program explorace yang merangkumi pelbagai cabaran bertemakan warisan FELDA, STEM, inovasi, kelestarian alam sekitar dan pembangunan keusahawanan.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Amizar bin Abu Adam, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang merangkap EXCO Hal Ehwal Koperasi & Pembangunan Usahawan FELDA, yang hadir sebagai wakil kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam menyokong agenda pembangunan belia dan keusahawanan Generasi FELDA.

Pelaksanaan program ini adalah selari dengan aspirasi Pahang 1st, yang menekankan pembangunan modal insan tempatan, pemerkasaan bakat Anak Pahang serta pembinaan ekosistem keusahawanan yang mampan demi kemajuan negeri.
Melalui konsep explorace berperingkat merangkumi lima (5) checkpoint utama di sekitar kampus UiTM Shah Alam, peserta diuji dari aspek pemikiran kritikal, kepimpinan, kreativiti dan kerja berpasukan, sekali gus membentuk mahasiswa yang lebih berdaya saing, progresif dan bersedia menyumbang kepada pembangunan Negeri Pahang pada masa hadapan.
#Pahang1st #YayasanPahang #UiTM #AnakPahang #PahangExploreRace #FELDA

